SHAH ALAM, 25 Nov 2023 – Johawaki Development Sdn Bhd (JDSB) berjaya menyiapkan 90 unit rumah Pangsapuri, jenis C di bawah projek Rumah SelangorKu (RSKU) Pangsapuri Aurora walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran di awal Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Semasa pandemik tercetus pada tahun 2020, pihak di sektor pembinaan termasuk JDSB, terkesan akibat PKP. Ini telah menjejaskan operasi syarikat secara keseluruhan. Dalam keadaan getir, JDSB masih berjaya menyiapkan serta menyerahkan RSKU Pangsapuri Aurora kepada pembeli. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Johawaki, Encik Mohamad Akmal bin Johari berpendapat bahawa pandemik COVID-19 merupakan suatu jangka waktu yang begitu mencabar untuk semua industri.
Namun begitu, JDSB tetap dengan komitmen menyalurkan sokongan terhadap inisiatif perumahan rakyat Kerajaan Negeri Selangor. “Mahupun ada rintangan, kami tetap yakin kerjasama antara sektor kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam menyediakan kemudahan asas untuk penduduk. Kami akan terus menyokong projek ini di masa hadapan,” kata Encik Mohamad Akmal Johari di majlis penyerahan kunci kepada pembeli unit Pangsapuri Aurora hari ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor Yang Berhormat Tuan Borhan bin Aman Shah hadir menyempurnakan sesi penyerahan kunci kepada pemilik rumah di majlis tersebut bagi mewakili Yang Amat Berhormat Dato Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor. Beliau juga turut menyertai acara menanam pokok di pangsapuri berkenaan sebagai simbolik penyerahan serta berpeluang melawat fasiliti dan unit kediaman.
“Saya amat berpuas hati dengan reka bentuk moden dan kualiti bahan binaan serta fasiliti Pangsapuri Aurora ini selaras dengan matlamat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), menyediakan kediaman berkualiti dan memenuhi keperluan warga tempatan yang memang mencari tempat tinggal yang berpatutan”, ujarnya.
“Saya sukacita melihat pemaju hartanah bumiputera tempatan seperti JDSB memberi sokongan terhadap inisiatif kami untuk menyediakan perumahan mampu milik di kawasan berkepadatan tinggi. Ini adalah objektif kami, iaitu untuk menyediakan perumahan mampu milik yang bermutu serta selesa buat pembeli dari golongan berpendapatan sederhana dan rendah”, tambahnya lagi.
JDSB membina sejumlah 90 unit rumah pangsapuri lima tingkat jenis C di mana setiap unit mempunyai tiga (3) bilik tidur, satu (2) bilik air dan dua ratus dua puluh (220) petak parkir kenderaan serta empat puluh empat (44) petak parkir motosikal. Berkeluasan lantai berukuran 1,001 kaki persegi pada harga RM185,000 seunit, Pangsapuri Aurora yang dibina diatas tanah dengan keluasan tanah 2.86 ekar ini turut dilengkapi dengan fasiliti dewan serbaguna, tadika, taman permainan, pondok pengawal, pejabat pengurusan, kebuk sampah dan pencawang elektrik.
Istimewanya, pangsapuri mesra Orang Kurang Upaya (OKU) ini turut dilengkapi dengan fasiiliti lif yang diberikan oleh syarikat pemaju.JDSB turut mengumumkan akan menyumbang fasiliti tambahan sebuah Surau sebagai inisiatif Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat yang akan dibina berhadapan Pangsapuri Aurora. Apabila siap kelak, surau tersebut berkapasiti sehingga 300 orang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penghuni pangsapuri malah kepada masyarakat sekitar. Pada masa yang sama, JDSB turut memaklumkan beberapa perancangan projek pembangunan hartanah baharu masa akan datang antaranya di Sungai Merab, Rinching, Rawang, Kapar, Kondominium Avanti Fasa 4 dan termasuklah pembangunan 32 unit Rumah Teres Dua tingkat, Thea Residences dan Thea Square di Meru Klang yang mana pendaftaran tempahannya masih dibuka.
Turut hadir di majlis tersebut, Yang Berhormat Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Yang Berusaha Puan Rahilah Rahmat, Pegawai Daerah Petaling, YBhg, Dato’ TPr. Dr. Juhari Ahmad, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor dan Yang Berbahagia Dato’ Azizan Bin Mohd Sidin, Pengerusi Johawaki Development Sdn Bhd.