KUALA LUMPUR - Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya kepada Yang Berhormat Dr. Zaliha Binti Mustafa, Menteri Kesihatan pada 25 September 2023.
Projek reka dan bina dengan kos sebanyak RM171 juta ini adalah dibawah kawalselia Pasukan Projek Khas 1, Jabatan Kerja Raya Malaysia dan telah dilaksanakan oleh kontraktor, Johawaki Construction Sdn. Bhd. Projek yang diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini merupakan projek yang berjaya disiapkan tiga hari awal dari tempoh siap semasa dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan pada 4 Ogos 2023, manakala tarikh siap semasa projek adalah pada 7 Ogos 2023.
Projek ini juga berjaya dilaksanakan dengan penjimatan kos sebanyak RM9 juta, mencapai skor sebanyak 79% dalam penilaian Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (Qlassic) serta mendapat pengiktirafan 4 bintang bagi Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC).
Projek ini merupakan sebahagian daripada projek pembangunan semula Hospital Kuala Lumpur yang melibatkan kerja-kerja perobohan bangunan lama dan membina semula Kompleks Dewan Bedah Urologi baharu yang berhubung dengan Blok A Institut Urologi dan Nefrologi. Bangunan 7 tingkat yang baharu ini turut dilengkapi dengan Unit Hemodialisis, Unit Rawatan Rapi Urologi dan Nefrologi, High Dependency Wad dan Wad Am yang menempatkan sebanyak 252 katil.
Selain itu, sebuah laluan bertingkat sepanjang 133 meter yang menghubungkan Bangunan Utama HKL ke Kompleks Pakar dan Rawatan Harian HKL bagi kegunaan membawa pesakit dan kerja-kerja menaiktaraf Pencawang Elektrik 10 turut dilaksanakan di dalam skop pembinaan.
Bersesuaian dengan teknologi pembinaan terkini, konsep pembinaan dewan bedah modular dilaksanakan dengan kaedah pasang siap sepenuhnya. Sistem komunikasi dua hala bertaraf antarabangsa yang menghubungkan dewan bedah robotik dan bilik seminar di aras yang berlainan turut dibina bagi menyokong tujuan pembelajaran dan penyelidikan.
Sebagai sebuah hospital premier, bilangan kemasukan pesakit dan kes rujukan dari seluruh negara meningkat setiap tahun. Dengan pengoperasian Blok B, Institut Urologi dan Nefrologi HKL, beban pertambahan pesakit dan penggunaan katil yang tinggi, rujukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma, HKL dapat dikurangkan.
Sehubungan itu, dengan penyerahan Blok B, Institut Urologi dan Nefrologi HKL ini dapat menaik taraf sebahagian fungsi perkhidmatan HKL sebagai hospital tertiari terbesar negara yang telah ditubuhkan sejak tahun 1870. Ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam menyediakan prasarana dan perkhidmatan kepakaran kesihatan yang terbaik untuk peningkatan taraf kesihatan Malaysia, seiring dengan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kepadatan pesakit di fasiliti kesihatan dalam negara.