Johawaki Land Sdn. Bhd. telah menerima kunjungan kerja daripada wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak bersama Natural Resources and Environment Board (NREB) Sarawak ke Ladang Sungai Gerol, Perak pada 1 Julai 2026. Lawatan kerja ini bertujuan menilai tahap pematuhan projek terhadap syarat-syarat Environmental Impact Assessment (EIA) dan Environmental Management Plan (EMP), di samping menyemak pelaksanaan langkah-langkah pengurusan alam sekitar serta membincangkan status pelaksanaan projek dan aspek-aspek berkaitan pematuhan.
Ladang Sungai Gerol telah dipilih sebagai lokasi lawatan kerana merupakan satu-satunya projek pembukaan ladang kelapa sawit baharu di Negeri Perak yang sedang dilaksanakan di bawah kelulusan EIA. Sepanjang lawatan, delegasi JAS Perak dan NREB Sarawak telah diberi taklimat mengenai status pembangunan projek sebelum mengadakan lawatan ke tapak bagi melihat secara langsung pelaksanaan langkah-langkah mitigasi alam sekitar serta amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices) yang dilaksanakan sepanjang tempoh pembangunan projek.
Lawatan ini mencerminkan komitmen Johawaki Land Sdn. Bhd. dalam memastikan setiap pembangunan dilaksanakan selaras dengan keperluan perundangan dan syarat-syarat kelulusan EIA, di samping memperkukuh kerjasama dengan agensi pengawal selia dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar serta mengamalkan pembangunan yang mampan.
***

