Pada 29 Jun 2026, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Mohamad Akmal bin Dato’ Johari, bersama Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan, Encik Abdul Hadi bin Dato’ Abdul Rahim, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Encik Mohamed Salahudeen bin Sahul Hamid, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, encik Anizam bin Bakar, serta Ketua Pegawai Eksekutif Johawaki Construction Sdn Bhd (JCSB), Ir. Mohd Hisham Ibrahim, bersama barisan pengurusan kanan lain, telah mengadakan lawatan tapak strategik ke dua projek pembinaan utama di bawah Johawaki Construction Sdn Bhd bagi meninjau kemajuan fizikal projek serta menilai status semasa pelaksanaan kerja di tapak.
Lawatan ini bertujuan memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk meneliti dan menilai sendiri perkembangan semasa kedua-dua projek. Selain itu, lawatan ini juga membolehkan pihak pengurusan mengenal pasti sebarang keperluan sokongan atau intervensi daripada pengurusan tertinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek serta penyelesaian isu-isu berbangkit.
Lawatan dimulakan di Projek Pembangunan Boustead Shop Office (Semenyih) yang melibatkan pembinaan 33-unit kedai pejabat dua tingkat di Taman Mutiara Hills, Mukim Semenyih, Daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Sesi ini memberi peluang kepada pihak pengurusan untuk menilai kemajuan semasa projek di tapak serta memastikan pelaksanaannya berjalan selaras dengan spesifikasi, garis masa dan standard kualiti yang telah ditetapkan.
Rombongan kemudiannya meneruskan lawatan ke projek pembinaan bangunan baharu Blok Akademik Tingkatan 6 beserta kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail (SEMADAH), Rembau, Negeri Sembilan. Dengan status projek yang kini berada di peringkat akhir dan menghampiri fasa penyiapan, lawatan ini membolehkan pihak pengurusan menilai kesiapsiagaan keseluruhan projek sebelum proses penyerahan dilaksanakan.
Lawatan strategik ini mencerminkan komitmen berterusan Johawaki dalam memastikan setiap projek di bawah kumpulan dilaksanakan dengan tahap kecemerlangan operasi yang tinggi, menepati garis masa yang ditetapkan serta memenuhi standard kualiti terbaik.
Selaras dengan komitmen Johawaki untuk terus berkembang sebagai kumpulan yang progresif dan berdaya saing, penglibatan aktif pihak pengurusan di lapangan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecemerlangan pelaksanaan projek serta menyokong pencapaian matlamat strategik organisasi.
***


