IPOH, 28 September 2026 – Serai Johawaki, usaha sama antara Serai Group dan Johawaki Holdings, telah menganjurkan Majlis Minum Petang Eksklusif & Jalinan Strategik Korporat di Serai Estate, Ipoh, yang diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak.
Majlis yang berlangsung di Kelarai Hall ini menghimpunkan barisan kepimpinan negeri, rakan korporat, wakil institusi serta tetamu jemputan bagi memperkenalkan Serai Estate sebagai destinasi pilihan untuk acara korporat, program rasmi dan jalinan kerjasama strategik.
Turut hadir ialah Encik Mohamad Akmal bin Dato’ Johari, Pengarah Urusan Kumpulan Johawaki, Datuk Mohd Najib bin Abdul Hamid, Pengarah Urusan Serai Group dan Encik Mohd Azhar Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP). Majlis ini turut disertai wakil daripada OCBC serta komuniti korporat Perak.
Menggabungkan kepakaran Serai Group dalam bidang makanan dan minuman serta pengalaman Johawaki Holdings dalam pembinaan, pembangunan hartanah dan hospitaliti, Serai Estate mengetengahkan keunikan warisan Perak melalui seni bina, seni kraf dan gastronomi tempatan.
Selain restoran dan ruang makan peribadi, Serai Estate turut menawarkan Kelarai Hall yang mampu menampung sehingga 300 tetamu, serta kemudahan rumah hijau dan Colonial Garden bagi pelbagai acara korporat dan majlis eksklusif.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Dabus dan Zapin Perak, sesi jaringan korporat serta lawatan sekitar Serai Estate.
Pembangunan Serai Estate mencerminkan komitmen Serai Johawaki dalam membuka peluang kerjasama strategik, menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan serta menyumbang kepada aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan Visit Malaysia 2026.
***

